Biodata dan Sejarah Ringkas Salahuddin Al-Ayyubi
Salahuddin
dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa. Pendidikannya
juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni
peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka
sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak
Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi
pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka
pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang
memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.
Stanley
Lane Poole seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak
seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi
tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat
pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau
bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin
besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan
jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi
tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara
ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah
yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad,
penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat
berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang
hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234). Tetapi itulah
sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi
kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi
kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu"
(Al-Baqarah:216)
Pertukaran
Hidup Salahuddin
Apabila
Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa
Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat
berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak
bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya
bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir,
dunia dan kesenagannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan
hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak
godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan
Stanley Lane Poole (1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah
cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan
menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan
corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang
menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya
untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat
untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah
berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin
Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai
perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya
untuk jalan jihad.
Semangat
Jihadnya
Fikiran
Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin
telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar
untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad
menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa
meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya,
mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada
sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan
sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam
khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa
sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Siapa
sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah
memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumoukan seluruh
perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat
tenteranya. Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang
garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia
akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain
untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan
Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air
dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela
Islam.
Ketika
ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor
peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya
makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena
ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin,
1234)
Peperangan
Hittin
Satu
siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin
dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin.
Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah
teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin
telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon.
Pembesar-pembasar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari
Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain.
Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan.
Stanley Lane-Poole menceritakan bawaha dapat dilihat seorang tentera
Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri
diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian
bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang
patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling
seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati
dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang
dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan
Salahuddin kepada Islam
Peperangan
Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley
Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan
semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya
didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka
dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke
khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia
bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku
telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan
melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji.
Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat atasnya". Lalu ia
menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya
kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja
Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana
menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan
mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang
raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala
batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".
Tindakan
Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan
Nabi Muhammad. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan
Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang
dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya
merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya
mengatakan, "Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk
menyelematkan kamu". Apabila ia mendapat berita ini ia telah
berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia
dapat menangkapnya.
Menawan
Baitul Maqdis
Kemenangan
peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk
menawan Baitul Maqdis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin
sangat-sangat berhajat untuk menawan Baitul Maqdis hinggakan bukitpun
akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.
Pada
hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin
telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah s.a.w naik ke langit.
Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas
kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar,
peniaga dan orang-orang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini.
Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua
ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah
kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar
datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan
melainkan Allah" telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini
sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddis. Salib
yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa hebatnya
peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu
betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin
yang Penyayang
Sifat
penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat
jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah
Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan
hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah
menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya
ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat
bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala
bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian
dipersalah-lakukan. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di
tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud
untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang
ditawan.
Lane-Poole
juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada
pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah
benderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan
pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang
tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka
berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi
hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin
tanpa mengidar bilangan mereka.
Selanjutnya
Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian
ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah
tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang
kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan
mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar
dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah
ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan
orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian
gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka
sangat bernasib baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan
dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole
juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang
diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah
seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya
bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang
Salib Ketiga
Perang
Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian
pada tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah dimenangi oleh
Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana
beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa
perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh
dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi
Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian
seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England,
Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of
Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin
yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya
serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat
pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera
bersekutu yang besar itu.
Peperangan
ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak
menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk
memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui
Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra
diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah
peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole
telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang
telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada
bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam
tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan
September, 1192M, keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu
jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun
dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih
di tangan orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia
Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan
Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus
lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra
Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada
pemerintahan Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada
yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur
di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan
Salahuddin.
Selanjutnya
Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah
ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan
Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang
menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk
menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada
jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak
henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat
di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan
ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada
tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans,
tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja.
Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah
dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan
pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole
juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia
mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan.
Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri.
Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada
siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama
sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya,
sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari
dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam
membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran
masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis
itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Salahuddin
Meninggal Dunia
Pada
hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah
selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57
tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah
menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar,
12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh
Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di
Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh
diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak
tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah
duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an.
Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila
Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan
melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata"
(Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya
berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, "Memang benar".
Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke
rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya
Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali
satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah,
barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang
ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk
kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk
menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh
seorang menterinya.
@
Tagged @ islam
0 komentar:
Post a Comment - Kembali ke Konten
apa komentar anda, mengenai artikel ini??